Wednesday, March 07, 2007

KENANG-KENANGAN

(Kebelakangan ni aku sering diburu kenangan. Oleh sebab itu entry aku kebelakangan ni sedikit jiwa-jiwa. Kalau anda jenis yang keras jiwa, anda boleh abaikan entry aku ini)


Kami orang kampung. Kami lahir di kampung. Kami kenal apa itu kampung. Jangan mempersoalkan pengetahuan kami tentang kampung. Kami benar-benar orang kampung. Kini kami sedih, kami lihat kampung kami sudah tidak seperti kampung lagi.
Kampung kami kampung yang bermandikan air mata. Perlahan-lahan kampung kami semakin mengecil. Tanah-tanahnya dicangkul di sana-sini. Buat membina rumah-rumah kedai yang baru. Buat dibina bangunan-bangunan perniagaan. Kampung kami semakin kerdil.
Sedang ruang lain bercahaya terang benderang kami masih di dalam kegelapan. Akhirnya kami sebagai anak-anak kampung lahir dan membesar di dalam kegelapan. Kami lambat menerima bekalan elektrik. Sekitar 1993 barulah kami merasai kenikmatan bekalan elektrik. Dahulunya malam kami hanya diterangi oleh lampu yang terpaksa dipam dahulu berkali-kali barulah ia memancarkan cahayanya. Atau kami gunakan sahaja lampu minyak tanah ‘moden’ yang diserikan dengan kehadiran gambar wanita seksi di tangkai belakangnya. Kami tidak kenal apa itu lampu kalimantang. Kalau mahu menonton televisyen kami perlu pula terloncat-loncat di tingkap rumah beberapa orang kampung yang lebih ‘kaya’. Kaya kerana mempunyai peti ajaib yang boleh mengeluarkan suara dan cerita. Kami benar-benar orang kampung.

Air? Maksud tuan bekalan air bersih? Air kami lebih bersih dari air tuan. Kami ambil dari tanah. Tanah ambil dari awan. Awan entah ambil dari mana. Percuma sahaja. Tidak perlu dibayar-bayar seperti sekarang. Kami miliki telaga sedalam tiga gelung. Malah lebih dari itu. Habis kasar tangan kami kerana geseran tali timba. Tidak seperti tangan tuan. Kadang-kadang kerana kami masih kecil terlepas pula timba dari tangan. Terburu-buru lah kami mencari kayu yang panjang buat mengait naik timba dari permukaan air telaga. Jangan lambat-lambat nanti timba akan terus ke dasar. Bertambah sukar jadinya. Perlahan-lahan nanti diketahui ibu di dapur. Kalau tak dipukul pun nanti dileteri pula. Telefon? Haha…tuan bergurau atau menyindir?
Dahulu, di satu sudut kampung dihiasi kebun sayur saujana mata memandang. Biarlah kalau pemiliknya orang cina, yang pasti ia terletak di dalam kampung kami sendiri. Kami berlari-lari. Tempat kami belajar berlari. Di leher setiap dari kami akan tergantung lastik yang dibuat sendiri. Kami cari kayu yang bercabang cantik sehingga ke tengah hutan, di dalam semak dari pokok-pokok renek. Kami berlari-lari sambil mengacah menghambat burung wak-wak dan puyuh. Bertempiaran larilah binatang-binatang kerdil itu. Kami lastik kejam-kejam. Kalau sempat, kami sembelih ikut cara kami sendiri. InsyaAllah betul caranya. Kami panggang ramai-ramai. Kami makan ramai-ramai. Indahnya…..

Tak perlu kami ke pasar. Kalau mahu sayur beli saja dari Ah Chong. Tak perlu banyak-banyak. Minta sahaja bayam atau sawi 50 sen sudah tak tergengam tangan dibawa balik.
Di waktu senggang kami main aneka mainan. Tuan sebut sahaja, guli, gasing, batu seremben, polis tan tri, aci ligan, toi, main pondok-pondok? Apa saja. Tuan sebut saja, kami tahu. Tapi yang lama-lama sahaja la. Kami tak kenal apa itu PS1, PS2 apatah lagi PS3.

2 comments:

cLinaku said...

lampu gasolin tuh best...cahaya dia memancar terang.Paling sonok bile nak start pasanglah;-)

pemuda jalanan said...

ada 1 pun dah cukup.cahaya dia boleh terang satu rumah.
ada lagi ke lampu gasolin ni.