Friday, February 02, 2007

SURAT DARI AKU 3 (Penutup Kepada Cerita)

Kepada Tuan Pengembara, jikalau dilihat surat ini lusuh dikotori debu dalam pengembaraan mu..jika tidak jadi susah pula kepada mu, sampaikanlah surat ini kepada yang berhak. Kepada Sang Nakhoda-Nakhoda yang gagah, jika dilihat surat ku ini terapung-apung di lautan mu, kena pula dengan haluan mu..pinta ku, kirimkanlah kepada yang berhak mengikut perkiraan mu. Kepada burung-burung di atas sana, jika dilihat surat ini melayang di awang-awangan tanpa tujuan..bantu terbangkanlah ia kepada pemiliknya.
Kau..Musim telah berlalu. Masa telah berlalu. Segala-galanya telah berlalu. Bukankah segalanya telah berlalu? Satu. Hanya satu. Yang satu ini tidak pernah ke mana-mana. Tidak pernah berganjak walau untuk dilalui seekor semut. Naluri ku. Perasaan ku. Janji ku. Kata-kata ku.
Maafkan Aku jika Aku tidak berupaya menghalang pemergian mu ketika waktu-waktu dahulu. Kalau Kau berjaya Aku halang tentu bukan begini jadinya.
Yang dibina sudah runtuh. Yang dilukis telah tercarik. Yang dicatat telah terpadam. Kita hentikanlah angan-angan ini. Aku terima semua dengan senang hati. Seperti juara di kandang pertembungan. Tak ubah seperti manusia jengkel. Meronta-ronta, teriak meraikan kemenangannya. Aku laung-laungkan keputusan kita ini.
Semoga kisah kita menjadi cerita kepada yang terkemudian. Menjadi peringatan yang bercinta. Menjadi simbol membuktikan cinta bukannya apa-apa. Sekuat mana perasaannya, ia bukan apa-apa. Jelas bukan? Akulah contohnya. Cinta tak ubah seketul batu. Keras, mahu diukir pun tidak ke mana-mana. Terlalu kuat, pecah berantakan pula jadinya.

Dalam kisah kita, Aku mahu membuktikan, dalam percintaan si gadis banyak kelebihannya. Maka kalau disalah guna kelebihan itu jadi hancur lah lelaki itu.
Yang pergi terus pergi. Yang hilang kian hilang. Sampaikanlah berita ku ini. Semoga pergi ku senang tak diganggu.

Aku kira cukup sampai disinilah perjalanan blog aku. Aku rasa sudah banyak cerita gelap tentang diri aku yang telah aku catatkan. Yang lebih-lebih tu biarlah aku simpan jadi sebahagian kisah yang hanya milik aku seorang. Semoga jadi pengaran kepada yang mahu mengambil pengajaran. Walau kita punya ibubapa terhebat di dunia, belum tentu kita sebagai anak akan lahir sebagai manusia yang terulung. Walau kita punya teman sebaik-baik manusia belum tentu kita sebaik mereka. Walau kita diajarkan guru terbijak, sifat kebodohan takkan lari ke mana. Aku doakan buat manusia-manusia jalanan semoga kalian berupaya hidup dilimpahkan rahmat Yang Maha Esa. Semoga kalian ditempatkan dikalangan manusia yang dirahmati. Semoga kita di jalan yang lurus. Daripada Allah kita datang, Kepada Allah jualah kita kembali. Yang baik itu datang dari Allah. Yang buruk itu juga datang dari Allah. Terpulanglah kepada kita untuk memilihnya. Semoga segalanya dicucuri rahmat. Amin......

No comments: